Mau lebih tips?cari di sini
Isnin, 1 September 2008
Apa itu Zakat ?
Zakat (زكاة) (dari kata tazakka - mensucikan) (bahasa Inggeris: almsgiving atau tithing) ialah derma yang wajib diberikan orang Islam yang mampu kepada 8 golongan (asnaf) yang berhak menerimanya. Ia merupakan rukun ketiga dari Rukun Islam.
Dari segi bahasa zakat bererti bersih, suci, subur dan berkembang.
Dari surah At-Taubah (09), ayat 103:
“ Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu(Muhammad) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui ”
Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.
Syarat wajib zakat
1.Islam
2.Merdeka
3.Milik sempurna
4.Cukup nisab
5.Cukup haul (genap setahun hijriah)
6.Niat untuk berniaga (zakat perniagaan sahaja)
Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1.Zakat fitrah
2.Zakat harta
Zakat fitrah
Pembayaran zakat fitrah dibayar pada bulan Ramadhan sahaja mulai 1 Ramadhan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.
Zakat harta
Manakala zakat harta boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta. Ianya bermaksud segala harta benda kita, 2.5% dari harta kita itu adalah bukan hak kita tetapi hak golongan 8 asnaf yang layak menerima zakat daripada kita. Di Indonesia, zakat harta dikenali sebagai zakat maal.
Zakat harta wajib dikeluarkan kerana ia adalah satu jalan jihad kepada Allah dan Islam. Dari surah At-Taubah, ayat ke-88, (9:88):
“ (Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga yang berjaya. ”
Manakala dari surah An-Nisaa', ayat ke-95, (4:95):
“ Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar. ”
Golongan yang layak menerima zakat
Zakat ini mesti dibayar kerana ia akan digunakan untuk kerja kebajikan seperti memberi bantuan kepada 8 golongan asnaf yang berhak untuk menerima wang zakat. 8 golongan adalah:
1.Fakir - Orang yang tidak berharta serta tidak mempunyai pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta dan pekerjaan tetapi tidak dapat menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluannya sehari ialah RM 10.00 tetapi dia hanya ada RM 2.00 sahaja.
2.Miskin - Orang yang mempunyai harta tetapi tidak mencukupi keperluan hariannya. Contoh, keperluan hariannya RM 10.00, tetapi dia hanya ada RM 7.00 sahaja.
3.Amil - Orang/Pekerja yang ditugaskan oleh pemerintah mengutip/mengagih zakat.
4.Muallaf - Saudara baru memeluk Islam
5.Riqab - Hamba yang menebus dirinya secara ansuran.
6.Al-Gharimin - Orang yang menanggung hutang dan tidak mampu untuk menyelesaikanya
7.Fisabilillah - Orang yang berjuang di jalan Allah.
8.Ibnus sabil - Musafir yang terputus bekalannya semasa di perantauan
Selain dari golongan 8 asnaf ini, mereka TIDAK LAYAK untuk menerima wang zakat.
Hikmah Zakat
1.Mengurangkan jurang antara mereka yang berada dengan mereka yang miskin.
2.Membantu mereka yang berjuang dan berdakwah dalam meninggikan kalimah Allah SWT.
3.Membersihkan dan mengikis akhlak yang buruk
4.Alat pembersih harta dan penjagaan dari ketamakan orang jahat.
5.Ungkapan rasa syukur atas nikmat yang Allah SWT berikan
6.Untuk pengembangan upaya umat
7.Memberi kekuatan moral kepada orang yang baru masuk Islam
8.Menambah pendapatan negara untuk projek-projek yang berguna bagi ummat.
sumber wikipedia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan