Mau lebih tips?cari di sini

Rabu, 5 November 2008

5 Sebab Resume Anda Ditolak oleh Majikan


Ramai di antara anda yang pernah mengalami keadaan ini. Saya kongsikan dengan anda sedikit info berkaitan.

5 sebab mengapa resume anda ditolak oleh majikan, menyebabkan peluang anda untuk menghadiri temuduga hancur berkecai:

1. Kelulusan dan pengalaman

Kelulusan dan pengalaman anda tidak menepati ciri ciri yang diingini oleh majikan. Ada yang berkelulusan ijazah tetapi memohon jawatan sebagai kerani. Ada yang berlatar belakangkan jurusan akaun tetapi menghantar resume untuk jawatan juruteknik. Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku.

Pertama, calon risau kerana setelah 3 bulan mencari kerja, hasilnya masih belum belum dapat. Mereka jadi termanggu manggu, kelu dan bibit bibit pupus asa mula berputik. Daripada bertanya dan berusaha mendapatkan maklum balas mengenai strategi mencari kerja, mereka membuat keputusan untuk hentam semborono dan main tembak sebarangan. Bagi mereka, lagi banyak resume yang dihantar, lagi cerahlah peluang untuk salah satunya mengena. Itulah teori mereka. Selalunya, mereka akan menyedari di kemudian hari bahawa keadaan yang lebih buruk yang akan berlaku.

2. Majikan sebenarnya telah tahu tentang anda

Jangan terkejut jika sebenarnya pihak majikan telah tahu sesuatu tentang diri anda. Lebih lebih lagi jika anda sudah mempunyai beberapa tahun pengalaman dalam sesuatu bidang.

Anda kena faham, majikan anda juga mempunyai network mereka yang tersendiri. Network ini berkemungkinan terdiri daripada rakan rakan sekerja anda, bos, orang bawahan, klien, vendor dan sebagainya. Pendek kata, orang dalam industri yang sama akan cuba untuk mengenali satu sama lain supaya urusan mereka pada masa hadapan menjadi senang.

Jika anda seorang yang bermasalah di tempat kerja, penangan buruk berkemungkinan menanti anda. Majikan juga boleh membuat siasatan terhadap anda dengan menghubungi senarai references yang terkandung dalam resume anda. Ini dibuat di luar pengetahuan anda. Jadi sebagai peringatan, jangan letakkan dahulu senarai references anda di dalam resume. Sebaliknya letak “available upon request”.

3. Resume anda membuka terlalu banyak persoalan

Mungkin tarikh yang anda masukkan dalam resume anda menimbulkan keraguan dan persoalan kepada majikan yang membacanya. Tidak kiralah sama ada ini kesilapan yang tidak disengajakan atau anda memang seorang yang tergolong dalam kategori ‘putar alam’.

Mereka juga mendapati ada ‘ruang’ di antara tempoh anda bekerja dengan syarikat lain. Contohnya, anda berhenti dengan Syarikat Kaki Sdn Bhd pada bulan Jun 2006 dan kemudian bermula dengan kerja baru di Syarikat Tumit Enterprise pada bulan September 2006. Ruang 3 bulan antara Jun dan Ogos ini menimbulkan banyak tanda tanya. Jika terlalu banyak keraguan, minat majikan terhadap anda akhirnya akan mati.

4. Teknik menghantar resume tidak kena

Bila menghantar resume dan juga permohonan kerja, lakukan dengan cara yang betul dan berhemat. Ikut adab, teknik dan saluran yang betul. Tidak perlu main hentam saja. Jangan ‘mencipta’ teknik teknik baru seperti menampal (copy & paste) maklumat resume dalam ruangan komen. Ini cara yang kurang sopan. Jangan menyalahgunakan maklumat perhubungan syarikat untuk membedil mereka dengan resume dan cover letter. Sebaliknya, cuba hubungi majikan menerusi telefon dan tanya cara yang paling sesuai untuk anda menghantar permohonan kerja dan bagaimana proses pengambilan kerja dilakukan.

5. Majikan terlalu sibuk, ataupun tidak kompeten

Syarikat syarikat yang berjaya seringkali membawa erti mereka mempunyai pekerja yang amat sibuk. Mereka amat produktif dan sering berkejar kejar menyiapkan tugas. Sikap kompetitif inilah yang menyebabkan syarikat mereka berjaya. Majikan yang mengambil anda bekerja itupun seorang pekerja dan juga manusia seperti anda. Jadi, mereka tidak terlepas melakukan kesalahan. Dek kerana terlalu kesibukan, mereka terlupa seketika tentang resume anda yang dibaca tadi.

Niat di hati mereka ingin menghubungi anda kerana resume anda bagus, tetapi keperluan kerja mengakibatkan mereka alpa. Alih alih resume anda akhirnya terperosok di bawah meja, ataupun dikuburi dengan ratusan emel lain. Ini bukanlah salah dari anda, tetapi berpunca daripada kesilapan pekerja itu sendiri. Berdoalah supaya perkara sedemikian tidak berlaku pada anda, dan teruskan berusaha, insyaallah resume anda tidak lagi akan dipinggirkan dan ditolak mentah mentah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

macam2tips stats