Mau lebih tips?cari di sini
Ahad, 31 Ogos 2008
Rahsia Di Sebalik Bulan Ramadhan
SEMPENA kedatangan Ramadan yang mulia, umat Islam bukan sahaja digalak supaya memperbanyakkan amalan serta memerhati kelebihan yang terdapat di dalamnya, malah mereka juga seharusnya mengetahui tentang rahsia-rahsia yang tersembunyi di dalam bulan ini.
Ulama dan pemikir Islam terkenal, Dr. Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya al-Ibadah fil Islam (Ibadat dalam Islam) membentangkan lima rahsia puasa yang boleh dirasai kenikmatannya dalam ibadah dan amalan pada bulan Ramadan.
1. Mengukuhkan jiwa
Dalam kehidupan ini, bukan sedikit bilangan manusia yang dikuasai oleh hawa nafsu dan menuruti segala kehendaknya walaupun menyedari apa yang diinginkan itu salah, mengganggu serta merugikan diri sendiri dan orang lain.
Lantaran itu, Islam menerusi ajaran-ajarannya memerintahkan supaya umatnya supaya memerangi hawa nafsu. Apa yang dimaksudkan dengan memerangi nafsu di sini ialah berusaha untuk mengawalnya, bukan membunuh nafsu sehingga hilang keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi.
Kekalahan dalam peperangan menentang manusia hanya akan merugikan nyawa dan harta, namun kekalahan dalam perang hawa nafsu akan membawa bersamanya malapetaka yang lebih besar.
Mereka yang tewas dalam perjuangan menentang hawa nafsu akan beralih daripada bertuhankan Allah s.w.t kepada bertuhankan hawa nafsu yang cenderung mengajak manusia ke lembah kesesatan seperti yang diterangkan oleh Allah Allah s.w.t dalam surah al-Jaasiyah, ayat 23.
Menerusi ibadat puasa, manusia akan mampu mengendalikan hawa nafsunya di samping dapat mengukuhkan jiwanya. Bahkan, golongan yang dapat mengawal hawa nafsunya ini akan mendapat darjat yang tinggi hingga mampu `mengetuk’ dan `membuka’ pintu langit, menjadikan segala doanya ditunaikan Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka; orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang dizalimi.”
2. Mendidik keinginan dan kemahuan
Ibadat puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan yang kuat dalam melakukan kebaikan walaupun azamnya itu terhalang dengan pelbagai rintangan.
Puasa yang sempurna juga akan membuatkan seseorang itu teguh mempertahankan keinginan serta niatnya yang baik, meskipun kemungkinan tersimpang daripada hasratnya itu juga besar.
Lantaran itu, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Puasa itu separuh daripada kesabaran.”
Dalam konteks terdidiknya keinginan yang kuat untuk melakukan kebaikan, puasa akan membuatkan kekuatan rohani seseorang muslim itu semakin teguh, sekali gus menjadikannya tidak mudah lupa diri meskipun telah memperoleh kenikmatan serta kesenangan duniawi yang besar.
Dalam pada itu, kekuatan rohani juga akan membuat seorang muslim tidak akan berputus asa walaupun penderitaan yang dialaminya sukar dan berliku.
3. Menyihatkan badan
Selain menyumbang kepada kesihatan dan kekuatan rohani, puasa yang sempurna juga akan memberikan kesan yang positif dari segi kesihatan jasmani.
Perkara ini bukan sahaja pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w, malah turut dibuktikan oleh para doktor dan pakar perubatan moden.
Mereka membuat kesimpulan bahawa pada saat-saat tertentu, perut memang perlu direhatkan daripada kerjanya memproses makanan yang masuk seperti juga sebuah mesin yang harus direhatkan.
Tambahan, dalam ajaran Islam, kantung perut kita memang harus dibahagi tiga iaitu satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk air dan satu pertiga lagi untuk udara.
4. Mengenal nilai kenikmatan
Hakikatnya, dalam hidup ini, sudah begitu banyak kenikmatan dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada manusia, walaupun ramai yang tidak pandai mensyukurinya.
Bagi yang tidak pandai bersyukur, satu nikmat yang diperoleh tidak dirasai kerana inginkan dua. Dapatnya dua nikmat juga tidak disyukuri kerana inginkan tiga dan begitulah seterusnya.
Sebenarnya, kalaulah kita memerhati dan merenungi, nescaya kita akan menyedari bahawa apa yang diperoleh sebenarnya sudah cukup menyenangkan.
Ini kerana, masih ramai lagi manusia lain yang mendapat sesuatu yang tidak nikmatnya sebanyak atau tidak semudah apa yang kita peroleh.
Lantaran itu, ketika berpuasa, kita bukan hanya disuruh memerhati dan merenungi kenikmatan yang sudah diperoleh tapi juga diminta menghayati betapa besar sebenarnya nikmat yang Allah s.w.t berikan.
Perkara ini dapat diperhatikan apabila terasa benar betapa beratnya penderitaan yang dialami selepas beberapa jam sahaja kita tidak makan dan minum. Pada waktu berbuka puasa pula, kita akan dapat merasakan betapa besarnya nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t walaupun ia hanya berupa sebiji kurma atau seteguk air.
Dalam konteks inilah kita dapat melihat betapa pentingnya peranan ibadat puasa dalam mendidik manusia supaya menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang diberikan oleh Allah s.w.t dan seterusnya menjadi golongan yang pandai bersyukur dan tidak memperkecilkan erti kenikmatan walaupun ia sikit atau kecil.
Sesungguhnya, bersyukur akan membuatkan nikmat itu bertambah dan azab pedih menanti mereka yang mengingkarinya seperti yang dinyatakan dalam surah Ibrahim, ayat tujuh.
5. Mengingati dan merasai penderitaan orang lain
Rasa lapar dan haus turut memberi pengalaman kepada kita yang berpuasa untuk merasai betapa penderitaan yang dihadapi oleh manusia yang seharian berhadapan dengan kemiskinan dan kebuluran.
Pengalaman lapar dan dahaga yang kita rasakan akan berakhir dalam beberapa jam, sementara penderitaan mereka itu entah bila akan berakhir.
Dari sini, ibadat puasa akan melahir dan memantapkan lagi rasa tanggungjawab kita terhadap kaum muslimin lain yang kini sedang berhadapan dengan penderitaan kemiskinan dan kebuluran.
Lantaran itu, sebagai simbolik kepada rasa tanggungjawab itu, kita diwajib mengeluarkan zakat dengan harapan sedikit demi sedikit kita mampu menangani permasalahan dan penderitaan yang melanda sesetengah umat Islam.
Yang jelas, zakat yang dikeluarkan bukan sahaja untuk kepentingan orang-orang miskin, susah dan menderita sahaja, malah ibadat itu juga bagi membersihkan kekotoran jiwa akibat harta seperti sifat bakhil, gila harta dan sebagainya.
SELAMAT BERPUASA.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan