Mau lebih tips?cari di sini

Ahad, 31 Ogos 2008

Puasa dan Kesihatan Part 1



Puasa atau menahan diri dari makan dan minum telah menjadi amalan manusia dari berbagai kaum dan agama sejak dahulu kala lagi. Ada yang berpuasa dari makan tetapi tidak dari minum. Ada pula yang menahan dari makan berhari-hari dan ada juga yang berminggu minggu. Terdapat juga mereka yang berpantang dari memakan dedaging dan hanya memakan sayur. Pendek kata, puasa telah digunakan sebagai ibadat, amalan atau kepercayaan manusia.

Artikel yang diselitkan pada kali ini fokus kepada puasa dan kesannya kepada kesihatan. Apakah di sebalik hikmah puasa dan apakah manfaatnya dari segi kesihatan? Puasa adalah suatu proses pembersihan rohani dan jasmani. Jika kita lihat pada definisi puasa iaitu "menahan diri dari makan dan minum serta menahan (mengawal) diri dari semua perkataan, pemikiran atau pendengaran perkara-perkara yang tidak baik". Faedah yang ketara dari amalan di atas ialah kekuatan rohani. Kita kurang mengetahui faedah atau kelebihan puasa dari sudut kesihatan fizikal. Lumrahnya kita kurang faham tatacara puasa yang boleh mendatangkan faedah kesihatan kerana terlalu mengikut tradisi yang telah menjadi kebiasaan kita bila berpuasa. Amalan puasa yang diwarisi sejak turun temurun ini bukan sahaja tidak memenuhi kaifiat puasa, malah ianya akan mengurangkan pahala puasa dan boleh mendatangkan mudharat kepada orang yang berbuat demikian.
Bagaimanakah cara puasa yang berkesan? Apakah fasa-fasa yang dialami semasa berpuasa? Apakah amalan yang akan memudharatkan orang yang berpuasa?
(Keadaan biasa). Di dalam keadaan tidak berpuasa, banyak tenaga badan digunakan untuk proses penghadaman
makanan. Pada masa yang sama, proses metabolisma dalam sel-sel sentiasa berjalan selagi kita makan dan minum. Sel-sel badan juga mempunyai fungsi memproses bahan makanan untuk dijadikan bahan yang boleh digunakan oleh sel dan badan. Semasa menjalankan proses ini, bahan buangan turut dihasilkan dan perlu di keluarkan dari sel. Jika sel-sel badan terlalu sibuk memproseskan makanan yang diterima, proses pembuangan ini akan menjadi kurang efisyen.. Pada kebiasaannya, pergerakan zat makanan (dan toksin) adalah ke arah lemak dan daging. Oleh itu, makanan yang diambil dengan kadar lebih dari yang diperlukan oleh badan akan menyebabkan terkumpulnya bahan-bahan simpanan - yang disimpan sebagai lemak. Di samping itu, jika fungsi perkumuhan bahan pembuangan kurang efisyen, maka toksin yang wujud pun akan tersimpan di dalam lemak.
Sewaktu kita tidak berpuasa (dan tidak pula melakukan senaman), proses pembakaran lemak akan menjadi tidak efisyen. Maka secara tidak langsung proses pembuangan toksin juga akan turut tergendala. Ini adalah kerana lemak dalam badan merupakan tenaga yang tersimpan dan hanya akan digunakan jika bahan bakar biasa yang terhasil dari karbidrat tidak mencukupi. Jika proses perkumuhan sentiasa dalam keadaan tidak efisyen, lama kelamaan sel-sel badan akan berfungsi dengan tidak optima kerana proses pembuangan tergendala. Ini akan menyebabkan sistem-sistem lain dalam badan seperti sistem pertahanan, sistem penghadaman dan lain-lain akan turut tergendala. Akibat dari gangguan berbagai sistem ini, kita akan mengalami gegala-gegala gangguan kesihatan seperti lenguh badan, cepat letih, senang demam dan lain-lain lagi.


Semasa berpuasa, aktiviti memproses makanan akan berkurangan (atau berhenti bagi tempoh waktu yang telah ditetapkan). Tetapi proses perkumuhan atau pembuangan masih tetap berjalan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan bahan buangan dan toksin, proses ini dapat berjalan dengan lebih efisyen. Dalam keadaan ini juga, badan kita akan mengalihkan sumber tenaga dari glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak ini akan mengeluarkan toksin dari sel dan seterusnya dapat dibuang keluar. Bagi proses perkumuhan ini, hati dan buah pinggang memberi lebih tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana dapat berehat dari memproses bahan makanan. Pada masa yang sama, darah (bersama oksigen dan bahan buangan dari sel-sel) dapat mengalir ke otak dan organ-organ lain.


Perlu dinyatakan bahawa proses pembuangan toksin dari badan yang berlaku semasa berpuasa tidak akan dapat dilakukan dengan baik jika seseorang itu mengalami sembelit (susah membuang air besar). Usus besar adalah di antara organ perkumuhan utama badan. Organ perkumuhan lain termasuk hati, ginjal, paru-paru dan kulit. Jika kurang air di dalam badan, buah pinggang akan menjadi kurang efisyen. Oleh itu semasa puasa, usus besar dan buah pinggang perlu dijaga supaya berupaya menjalankan proses perkumuhan yang akan membersihkan badan dan memulihkan fungsi sel secara optima. Proses pembuangan toksin dari dalam sel-sel badan terutama sel lemak akan menyebabkan pengaliran semula toksin ini ke saluran darah sebelum ia dapat keluar dari badan. Proses pengaliran toksin ini akan menimbulkan gejala-gejala yang sering berlaku pada awal puasa. Di antara gejala-gejala yang mungkin dialami pada awal puasa ialah:-

Sakit kepala - ini berlaku kerana toksin yang terkumpul dalam sel mengalir ke saluran darah sebelum ia dikeluarkan dari badan
Lengoh badan
Lidah berdaki dan mulut berbau
Kencing pekat dan berbau
Cirit-birit
Letih lesu - keadaan ini berlaku di awal puasa kerana badan kita tidak menggunakan tenaga yang tersimpan dalam badan dan masih mengharapkan tenaga dari makanan dari luar. Maka gula di dalam darah berada di tahap rendah dan badan terasa lemah longlai, walaupun pada hakikatnya tenaga tersimpan dalam bentuk lemak mencukupi untuk beberapa bulan tanpa makan!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum wbt.
ulasan yang baik,tips2 yg berguna insyaAllah~
cuma terdapat lambakan maklumat di situ~^_^
selamat berpuasa~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

macam2tips stats